Polis laksana Op Lancar Aidiladha mulai hari ini hingga 9 Jun – tumpu lokasi hotspot kesesakan trafik
Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Lancar bermula hari ini hingga 9 Jun 2025, dengan fokus kepada kelancaran trafik dan keselamatan jalan raya sempena Hari Raya Aidiladha. Seramai 1,858 pegawai dan anggota akan ditempatkan di lokasi panas trafik di seluruh negara. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, menasihatkan orang ramai untuk mengikuti maklumat trafik terkini melalui media sosial rasmi dan merancang perjalanan mereka. Beliau juga menggesa pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan mengelakkan tindakan yang boleh menyebabkan kemalangan.