DPM Zahid urges govt to draft new act streamlining TVET under 12 ministries
Kerajaan digesa untuk menggubal akta bagi menyelaraskan dan memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu antara syor utama yang dibentangkan semasa retret sempena ulang tahun pertama Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB). Beliau berkata, akta baharu yang dicadangkan itu akan menyelaras semua 12 kementerian yang terlibat dalam melaksanakan agenda TVET negara, membolehkannya menjadi ekosistem pendidikan nasional yang baharu. Ahmad Zahid berkata, retret itu juga mahu menaik taraf Majlis TVET Negara kepada suruhanjaya yang boleh memperkukuh penyelarasan ekosistem TVET. "Suruhanjaya ini bukan entiti baharu yang memerlukan penjawat awam tambahan atau peruntukan besar, sebaliknya akan menyelaras dan mengoptimumkan fungsi sedia ada dengan lebih fokus," katanya. Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Ketua Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan KEB, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, telah dilantik untuk mengetuai Pusat Data dan Papan Pemuka Ekonomi Bumiputera. Beliau berkata, inisatif itu akan diletakkan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Kementerian Ekonomi melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).